22 April 2010

SELAMAT DATANG KE BLOG SK SERI CEMPAKA



SKROL KE BAWAH UNTUK MELIHAT CATATAN

PERTUBUHAN GURU BANTAH KENA AJAR PENDIDIKAN SEKS.

APA PENDAPAT ANDA?

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/22

Pelaksanaan secara terburu-buru timbulkan banyak masalah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menggesa pelaksanaannya dipercepatkan tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Beliau berkata, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar, tambahan pula guru ketika ini tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.

“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.

“Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya kepada Berita Harian.

Kelmarin, Shahrizat meluahkan hasratnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta supaya pendidikan kesihatan reproduktif sebagai subjek di sekolah diperkenalkan segera.
Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, turut membantah cadangan itu dengan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.

“Asas didikan fardu ain oleh ibu bapa di rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjebak dengan gejala itu.

“Justeru, PKPSMM tidak mempersetujui idea itu (memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif) kerana ia jelas bukan langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau banyak di sekolah,” katanya.

20 April 2010

PERTANDINGAN BOLA BALING PERINGKAT DAERAH PERAK TENGAH

PERTANDINGAN BOLA BALING PERINGKAT DAERAH PERAK TENGAH.
Tempat : SK Seri Changkat.
Tarikh : 20 April 2010
Keputusan : Tewas peringkat kumpulan.

Tahniah juga diucapkan kepada pasukan bola baling SK Seri Cempaka yang berjaya melayakkan diri dan mewakili PKG Seberang Perak untuk bertanding di peringkat daerah. Walaupun tewas, pasukan ini telah menunjukkan kesungguhan dalam permainan mereka.Terima kasih kepada guru-guru SK Seri Cempaka yang setia memberikan sokongan.



Wajah-wajah wira


Bergambar bersama jurulatih dan guru pengiring


Jurulatih yang sentiasa memberi tunjuk ajar.


Wira yang menyelamatkan banyak percubaan.

BUAT JERUK

Emm inilah gelagat murid-murid tahun 6 Amanah SK Seri Cempaka menghasilkan jeruk buah mangga. Projek membuat jeruk ini telah dijalankan sepanjang minggu lepas.Hasilnya amat membanggakan dan yang pasti semua jeruk telah habis dimakan pada minggu ini. Tahniah diucapkan kepada tahun 6 Amanah kerana berjaya menghasilkan sendiri jeruk mereka.


Kumpulan Asnani


Kumpulan Muslimah


Kumpulan Izzudin

19 April 2010

PERTANDINGAN BOLA BALING PERINGKAT ZON PKG SEBERANG PERAK

PERKARA :PERTANDINGAN BOLA BALING PERINGKAT ZON PKG
SEBERANG PERAK.

TARIKH : 17 APRIL 2010
TEMPAT : PADANG SK CHANGKAT LADA 3
PENCAPAIAN: PASUKAN LELAKI ( JOHAN )
PASUKAN PEREMPUAN ( TEMPAT SAGUHATI )

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Kamarul, Cikgu Amin, Cikgu Affandi, Cikgu Mai Zaharah dan Ustazah Norizah kerana sudi meluangkan masa dan tenaga menyokong pasukan bola baling SK Seri Cempaka.


Ketua pasukan lelaki menerima medal dan sijil


Ketua pasukan perempuan menerima sijil


Pasukan perempuan SKSC bergambar bersama johan pasukan perempuan, SK Pasir Kubu.

PERKHEMAHAN KERIS PERAK

Pada 9 - 11 April yang lalu, telah berlangsung Perkhemahan Keris Perak Peringkat Daerah Perak Tengah yang telah diadakan di Kem Kota Layang-Layang Kiri. Pasukan pengakap SK Seri Cempaka turut tidak ketinggalan menyertai perkhemahan ini. SK Seri Cempaka telah menghantar 24 orang ahli pengakap untuk menyertai perkhemahan kali ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan staf yang telah menyumbangkan tenaga sepanjang perkhemahan ini berlangsung. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat diambil di Kem Kota, Layang-Layang Kiri.


Ust. Syukri dan Cikgu Sazali bergambar bersama peserta


Peserta perempuan.



Seronok tau khemah.


Tak sabar nak balik....


Jiran khemah kami.SK Chopin

TAHNIAH PASUKAN TAKRAW SK SERI CEMPAKA

Tahniah diucapkan kepada pasukan takraw SK Seri Cempaka kerana telah berjaya menggondol pingat emas pada pertandingan di peringkat PKG Seberang Perak yang lalu. Pasukan ini telah diketuai oleh Cikgu Nazri b. Shaari yang telah bertindak sebagai ketua jurulatih.


13 Mac 2010

SELAMAT BERCUTI

Mulai hari ini (13 Mac 2010) sekolah akan bercuti selama seminggu sempena cuti pertengahan semester 1.Pihak admin ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat bercuti kepada seluruh kakitangan SK Seri Cempaka.Kepada kakitangan yang pulang ke kampung, berhati-hatilah sepanjang perjalanan.



TERIMA KASIH,TAHNIAH DAN SEMOGA BERJAYA

Sepanjang minggu ini ( 8 hingga 12 Mac 2010 ) SK Seri Cempaka telah menerima 7 orang guru pelatih untuk menjalani Rancangan Orientasi Sekolah ( ROS ).Mereka terdiri daripada empat orang guru pelatih perempuan dari Institut Pendidikan Guru Raja Melewar dan tiga orang guru pelatih lelaki dari Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru pelatih ini diatas kesudian memilih SK Seri Cempaka sebagai tempat menjalankan ROS.Tahniah kerana telah berjaya menjalankan ROS dengan sebaiknya.Akhir sekali,pihak admin ingin mengucapkan selamat mengharungi alam pendidikan yang mencabar ini.Jadilah seorang guru yang boleh diteladani dan semoga berjaya.


Dari kiri: Cikgu Intan,Cikgu Natasha,Cikgu Shamimi & Cikgu Shafiqah


Dari kiri:Cikgu Hairul,Cikgu Faizal & Cikgu Ashraf

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL Part 2

8 hb Mac merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua murid kerana merupakan hari penyampaian hadiah bagi acara-acara yang dipertandingkan sepanjang sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Minggu Dakwah SK Seri Cempaka.Pihak admin ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang.Kepada yang tidak berjaya cuba lagi pada masa hadapan.


Tahniah......


Antara pemenang


Johan pertandingan selawat.....

10 Mac 2010

PERTANDINGAN BOLA TAMPAR PERINGKAT DAERAH PERAK TENGAH

Pada 4 Mac yang lalu, SK Seri Cempaka telah menyertai pertandingan bola tampar bawah 12 tahun lelaki Peringkat Daerah Perak Tengah. Pertandingan ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Bakong.Pasukan bola tampar SKSC telah menjalani latihan di bawah pengawasan En. Mohd Amin, manakala En. Kamal telah bertindak sebagai pengurus pasukan.Setelah melalui beberapa perlawanan sengit,pasukan bola tampar SKSC telah berjaya mendapat tempat ketiga di dalam pertandingan tersebut. Lebih manis, beberapa orang pemain juga telah terpilih mewakili daerah untuk bertanding di peringkat negeri.Tahniah diucapkan dari seluruh warga SK Seri Cempaka.


Antara guru yang terlibat..........


Tahniah............


Pasukan kebanggaan sekolah


Pasukan bola tampar bersama jurulatih dan pengurus

BENGKEL TEKNIK MENJAWAB SOALAN SAINS UPSR 2010

Pada 2 Mac 2010 yang lalu ( Selasa ),Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka telah mengadakan bengkel teknik menjawab soalan Sains UPSR 2010. Program ini telah diadakan di dewan SKSC pada pukul 3.00 petang. Semua murid telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang program ini dijalankan. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Guru Cemerlang Sains Negeri Perak yang juga merupakan Jurulatih Utama Sains Daerah Perak Tengah iaitu En. Hashim bin Talib. Semoga dengan adanya bengkel ini,dapat memantapkan lagi teknik menjawab soalan sains bagi murid-murid tahun 6 SKSC.


En. Hashim b. Talib sedang menyampaikan ceramah


Amboi khusyuknya dengar.............


Murid tahun enam 2010


Pastikan Sains dapat A

05 Mac 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL Part 1

5 Mac 2010 - Setiap tahun tanggal 12 Rabiulawal, negara kita mengishtiharkan cuti umum bagi menyambut satu hari yang dimuliakan iaitu hari kelahiran Junjungan Besar Umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W. Bagi menyambutnya,pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah diadakan sempena mengingati tarikh yang bersejarah ini. Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka juga tidak ketinggalan merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang dua minggu Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Minggu Dakwah Peringkat Sekolah ( 23 Februari 2010 hingga 8 Mac 2010 ) adalah pertandingan mewarna, kuiz bertulis, mencipta sajak, teka silangkata, menjawikan teks, pertandingan selawat, ceramah Maulidur Rasul dan pertandingan membaca jawi.Pada hari Isnin yang lalu (1 Mac 2010 ), SK Seri Cempaka telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Minggu Dakwah yang telah diadakan di tapak perhimpunan sekolah. Acara ini diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh murid-murid SK Seri Cempaka dan Ceramah Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Zambri b. Majid ( Imam Masjid Tanjung Bidara ).



Ustaz Zambri b. Majid menyampaikan ceramah.


Kumpulan nasyid membuat persembahan


Ketuk jangan tak ketuk.

28 Januari 2010

SEPETANG BERSAMA WARIS TAHUN 6 SK SERI CEMPAKA

Alhamdulillah telah selesai dan terlaksana sudah Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2010: Sepetang Bersama Waris yang telah diadakan dengan jayanya pada pukul 3.00 hingga 6.00 petang bertempat di dewan SK Seri Cempaka. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapa dan juga guru-guru kerana memberi kerjasama sepanjang program ini berlangsung. Program ini diadakan bertujuan untuk bersama-sama membincangkan masalah dan jalan penyelesaian ke arah memantapkan pencapaian UPSR murid-murid SK Seri Cempaka.Selain itu,murid dan penjaga juga telah menetapkan dan membuat akurjanji target yang ingin diperolehi dalam UPSR pada tahun ini. Kepada semua murid semoga berusaha dengan gigih untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan. Manakala kepada ibu bapa dan guru marilah bersama-sama bekerjasama memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak kita.



Murid menandatangani borang akurjanji



Antara murid dan ibu bapa yang hadir


Murid sedang melafazkan ikrar


Ceramah oleh guru besar SK Seri Cempaka




27 Januari 2010

PROGRAM MOTIVASI TAHUN 6 SK SERI CEMPAKA

Program ini telah diadakan pada hari ini (rabu /27 Januari 2010 ) di kantin sekolah bermula pada pukul 11.30 pagi. Program motivasi ini melibatkan keseluruhan murid tahun enam yang berjumlah 77 orang murid. Ceramah motivasi ini telah disampaikan oleh Encik Asmuni b. Dato Ismail iaitu penceramah motivasi dari Panglima Garang. Program ini diadakan bertujuan memantapkan ketahanan mental murid-murid tahun enam untuk menghadapi peperiksaan yang akan ditempuhi pada bulan September nanti. Semoga apa yang telah disampaikan oleh penceramah dapat diaplikasikan dengan sebaiknya oleh murid-murid SK Seri Cempaka.


En. Asmuni bin Dato Ismail ( penceramah )


Nampak khusyuk jer............


Antara murid lelaki tahun enam


Antara murid perempuan tahun enam


Antara guru yang terlibat sewaktu ceramah

18 Januari 2010

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN LEMBAGA PENGAWAS SKSC

Hari ini bertempat di tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka telah diadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Lembaga Pengawas SKSC. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Penyelia Sukan Pejabat Pelajaran Daerah Perak Tengah iaitu Encik Yaman bin Abdul Rani. Terima kasih diucapkan kepada Encik Yaman di atas kesudian menyampaikan watikah pelantikan kepada guru-guru disiplin dan pengawas-pengawas sekolah. Kepada semua pengawas sekolah diharapkan dapat menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.


14 Januari 2010

KELAHIRAN BLOG SK SERI CEMPAKA

Alhamdulillah, tanggal 14 Januari lahirlah blog SK Seri Cempaka secara rasminya. Pihak admin masih lagi memerlukan lebih banyak ilmu dalam dunia blogger,namun bukan alasan untuk terus berputus asa meneruskan apa yang telah dirancang. Terima kasih diucapkan kepada seluruh warga SK Seri Cempaka yang banyak memberi bantuan dan galakan sehingga terhasilnya blog ini. Nantikan catatan seterusnya................